Monday, February 18, 2008

Impak Maksima - The TV Series


Filem 'Impak Maksima' berjaya dinobatkan sebagai filem 'box office' dengan kutipan mencecah RM1 juta.

Begitulah kenyataan pelakon dan pengarah muda Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang juga pengarah filem yang berjaya membawa industri filem Malaysia ke Singapura, Brunei dan Filipina menerusi filem 'Jangan Pandang Belakang' dengan kutipan termasuk di dalam negara iaitu RM7.5 juta secara keseluruhannya.

Kejayaan filem yang memaparkan sukan permotoran ini tidak terhenti di situ sahaja kerana stesen televisyen tersohor negara TV3 menawarkan Idham untuk mengetengahkan genre aksi ini melalui drama 'Impak Maksima The Series'.

Idham juga pernah mengarah filem 'Mr.Cinderela' dan 'Tentang Bulan'
"Konsep yang digarap dalam drama 'Impak Maksima The Series' masih sama dengan filem Impak Maksima iaitu bergenre aksi dan jalan cerita tentang dunia permotoran.

"Yang pastinya akan ada kelainan dan jalan cerita yang lebih kuat," kata Idham yang sedang menyiapkan kertas kerja untuk drama 13 episod itu.

Ketika ditanya mengenai drama akan datang ini akan menokok tambah kandungan yang tiada di dalam filem yang menjengah pawagam bermula 23 Ogos lalu, Idham menafikan persoalan tersebut dengan alasan terdapat perbezaan skala antara filem dan drama.

"Filem mempunyai skala yang besar. Drama lebih kepada penceritaan di mana ia akan menggabungkan aksi kereta dan motor dan beberapa perkara lain. Itu yang membuatkan drama lebih menarik.

"Drama 'Impak Maksima The Series' ini akan lebih menonjolkan slot aksi seperti drama 'Kaber Hero Kaber Zero' yang sedang disiarkan di TV3," jelas Idham yang berusia 36 tahun ini.

Drama berepisod ini dijangka akan memulakan pengambaran pada hujung tahun ini bergantung kepada keadaan cuaca.

Selain sibuk dengan membuat perancangan mengenai drama yang belum menetapkan barisan pelakonnya, Idham juga dijangka tampil dengan sebuah filem baru yang masih dalam pemilihan daripada dua buah filem yang disenarai pendek.

"Saya belum membuat pemilihan lagi. Mungkin selepas Raya akan ditetapkan bergantung kepada drama 'Impak Maksima The Series'," ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

No comments:

Real Time Web Analytics